gambar sekadar hiasan
SARIKEI – Tabiat jelik seorang lelaki warga Bangladesh yang gemar mengintai wanita dalam tandas di sebuah ladang berdekatan Jalan Bintangor, di sini, menerima padah apabila dia melecur disimbah air panas oleh mangsa intipannya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki terbabit yang berusia 20-an dikatakan menggelupur kesakitan akibat melecur di muka, dada, bahu kiri dan lengan akibat terkena air panas selepas disimbah seorang pekerja wanita di ladang berkenaan.
Sumber berkata, lelaki terbabit dikatakan sering mengintai pekerja wanita yang menggunakan tandas berkenaan dengan menebuk beberapa lubang pada dindingnya. Menurutnya, perbuatan lelaki yang juga pekerja ladang itu dikatakan sudah lama berlarutan menyebabkan beberapa pekerja wanita berang dan memasang perangkap.
“Tengah hari tadi (semalam), lelaki terbabit dikatakan mengulangi perbuatan sama apabila mengintai seorang pekerja wanita yang memasuki tandas itu.
“Rupa-rupanya wanita itu hanya berpura-pura menggunakan tandas kerana dia sebenarnya mahu memerangkap lelaki warga asing itu. Malah, wanita berkenaan dipercayai sudah berpakat dengan rakan lain untuk ‘mengenakan’ lelaki itu.
“Ketika asyik mengintai, seorang daripada rakan wanita menyimbah air panas ke arah lelaki itu menyebabkan dia melarikan diri sambil menjerit kesakitan,” katanya.
Sumber itu berkata, lelaki terbabit bernasib baik kerana segera dihantar beberapa pekerja ladang untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.
“Bagaimanapun, berikutan kecederaan parah dialaminya, lelaki terbabit dirujuk ke Hospital Sibu,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan memaklumkan, keadaan lelaki terbabit dilaporkan stabil. – myMetro Online
0 Komentar untuk "Mat Skodeng Parah Disiram Air Panas"