Hidangan Western Serendah RM4.90




Hidangan menu ala barat Facefood bersama air minuman yang unik.




Sebut sahaja makanan ala barat atau lebih dikenali dengan ‘western food’ pasti di fikiran akan membayangkan harga yang mahal dan hanya mampu dimakan oleh mereka yang ‘berduit’ sahaja, tetapi tidak di kedai makan Facefood yang terletak di tengah-tengah bandar Kluang ini.

Kedai makan Facefood merupakan francais milik Bestari My Friendz Cafe yang baru sahaja dibuka lebih kurang empat bulan yang lalu. Pemilik Facefood, Suzinah Ab Rahman, 32, berkata, makanan ala barat yang dijual di kedai makannya mampu dimakan oleh semua golongan tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Beliau berkata, idea untuk membuka kedai makan ala barat ini datang daripada suaminya, Ruhaimi Ruslan, 35, kerana sebelum ini beliau hanya menjual makanan goreng sahaja di kedai berkenaan.

“Oleh itu, untuk menampakkan kelainan daripada kedai makan yang lain maka saya dan suami menukar konsep kedai kami dengan memperkenalkan makanan ala barat dan menjualnya dengan harga yang berpatutan iaitu daripada RM4.90 hingga RM7.90.

“Harga tersebut amat murah dan mampu dibayar oleh sesiapa sahaja malah, tujuan kami adalah untuk menarik golongan belia untuk datang ke kedai kami ini,” katanya kepada Sinar Harian. Suzinah berkata, sejak mengusahakan perniagaan makanan selama lebih kurang enam tahun telah membuatkan beliau dan suami bertekad untuk menukar konsep malah, makanan ala barat dilihat mempunyai peluang kerana di Kluang tiada kedai yang menjual 100 peratus makan barat.

Makanan mampu untuk semua Beliau berkata, kerana minat dalam dunia perniagaan itu maka menu ala barat diperkenalkan kepada masyarakat Kluang malah, kedai makannya itu adalah kedai makan bajet kerana semua orang boleh akan di situ. “Kerana menu yang ada di kedai makan saya mampu dibeli malah, keluarga besar juga boleh datang makan di kedai makan saya ini tanpa perlu risau mengenai kewangan kerana ianya murah.

“Di Facefood terdapat lapan menu utama yang berunsurkan ala barat daripada burger, ayam dan daging kambing. Semuanya boleh dibayar dengan harga yang murah berbanding kedai makan lain,” katanya.

Sementara itu, Ruhaimi yang bertindak sebagai pembantu kepada isterinya nekad memastikan kejayaan perniagaan itu.

“Menu yang disediakan 100 peratus ala barat dan makanan yang disediakan adalah daging segar seperti daging ayam dan daging kambing. “Kami hanya mahu pelanggan datang ke kedai kami dan berpuas hati dengan hindangan yang diberikan.

Soal keuntungan jatuh tempat kedua,” katanya. Walaupun masih baru beroperasi namun, Ruhaimi berkata, sambutan yang diperoleh amat menggalakkan terutama daripada golongan belia yang suka konsep diketengahkannya.

“Bahkan kanak-kanak juga boleh makan di kedai Facefood ini kerana menu yang disediakan amat ringkas tetapi sedap dan mampu menambat selera masyarakat Kluang.

“Kita berharap dengan harga rendah yang ditawarkan kepada setiap menu disediakan dapat menarik lebih ramai peminat makanan ala barat untuk datang berkunjung kedai kami di Jalan Ciku, Kluang ini,” katanya. Buka cawangan lain.

Bagi mengembangkan kedai makan Facefood itu, Ruhaimi erkata, beliau dalam perancangan bagi membuka satu lagi cawangan Facefood di Merlimau, Melaka.

“Malah, dilihat di Melaka mempunyai potensi untuk memperkembangkan kedai makan ala barat ini diharap apabila buka cawangan di sana ia mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.



sumber : kosmo
0 Komentar untuk "Hidangan Western Serendah RM4.90"

Back To Top